Ahad, 27 September 2009

Bagai Melepaskan Anjing Tersempit

Membaca akhbar bertarikh 27 September 2009 tentang YB Ibrahim Ali, ada dua persepsi berligar dalam kepala saya. Persepsi pertama, sudah lama terbina, ialah berkenaan kepintaran YB Ibrahim Ali. Beliau terkenal sebagai YB yang suka melompat partai. Dalam satu ceramahnya (bersama Datuk Mohd Shafie Afdal), yang saya hadir, di padang Kampun Pasir Lama, Pantai Dalam, Kuala Lumpur, sekitar tahun 1999, beliau mengatakan bahawa beliau melompat di atas pulut. Saya bersetuju dengan pengakuannya, dan memang itulah sikap dan hasrat ahli politik.
Saya mengatakan beliau pintar bermain politik kerana (1) beliau dapat mempengaruhi Datuk Seri (Tun) Dr. Mahathir Mohamed sehingga beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Sedangkan sebelum itu, Dr. Mahathir Mohamed sendiri melahirkan rasa kesal dan marah kepada Ibrahim Ali; (2) Walaupun Dr Mahathir Mohamed marah YB Ibrahim Ali, Dr. Mahathir tetap memberi Projek Jambatan Tedong yang berjuta ringgit kepada YB Ibrahim Ali. Malang kepada pengikut setia Dr Mahathir yang tidak mendapat projek sebagaimana diperoleh oleh YB Ibrahim Ali; (3) YB Ibrahim Ali dapat mempengaruhi YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz, sehingga Tuan Guru menganggap YB Ibrahim Ali sebagai anak angkat PAS; (4) YB Ibrahim Ali juga dapat menyakinkan Tuan Guru untuk membenarkan beliau bertanding Parlimen Pasir Mas pada Pilihan Raya Ke-12 (2008) atas tiket bebas dengan memakai identiti dan lambang PAS. PAS sendiri tidak meletakkan calonnya bertanding di Pasir Mas. Seluruh penyokong PAS memberi kemenangan kepada YB Ibrahim Ali.
Persepsi kedua ialah sikap YB Ibrahim Ali seperti anjing lepas tersempit. Tuan Guru dan PAS Kelantan, khususnya PAS Pasir Mas telah menolong YB Ibrahim Ali dalam Pilihan Raya Ke-12 hingga beliau menang. Pada masa ini, YB Ibrahim Ali tiada partai kerana keahlian beliau dipecat dari Partai UMNO. PAS telah menolong YB Ibrahim Ali demi menentang UMNO dan beliau telah terlepas daripada tersempit.
Namun, apa yang terjadi kini. Banyak tindak tanduk YB Ibrahim (khususnya setelah YAB Najib menjadi PM), menyebelahi UMNO dan 'menentang' PAS. Beliau sendiri secara terang-terangan mengkritik PAS dan 'menjalin hubungan sulit' dengan UMNO menyebabkan PAS Pasir Mas dan PAS Kelantan marah. Kemuncak kemarahan ialah apabila PAS mendesak YB Ibrahim Ali melepaskan jawatan Ahli Parlimen Pasir Mas.
Turut sama mendesak YB Ibrahim Ali melepaskan jawatannya ialah Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan. YB Ibrahim Ali bertindak balas, mendesak Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz sendiri yang patut meletak jawatan kerana gagal membawa perubahan di Kelantan.
Sikap dan tindakan YB Ibrahim Ali ini sangat kurang ajar dan tidak 'reti basa.' Orang Melayu anggap sikap seperti itu sebagai 'bagai melepaskan anjing tersempit.' Kalau anda terserempak dengan anjing tersempit, dan menyalak-nyalak kesakitan, anda jangan cepat melepaskannya. Hal ini kerana setelah terlepas daripada tersempit itu, anjing berkenaan akan serta merta mengigit anda. Sikap keanjingan inilah nampaknya menjadi amalan dan pegangan YB Ibrahim Ali, apabila beliau bersikap kurang ajar terhadap Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz.
Generasi PAS Kelantan, khususnya Pasir Mas, juga generasi UMNO atau Keadilan, perlu ambil ikhtibar daripada sikap biadab YB Ibrahim Ali ini, semoga pisang tidak berbuah kedua kali.

1 ulasan:

syahrulnizam berkata...

Terima kasih kerana melawat.

syahrul

http://ilmupengaruh.blogspot.com/
http://www.facebook.com/syahrulnjunaini